Thursday, December 20, 2012

Tugasan - Malaysia Graduate Entrepreneur

Siswazah Menganggur 5 Tahun Jadi Usahawan Tani Berjaya
BALING 24 Mac – Kira-kira 19 tahun lalu, selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Jamaluddin Abdul Rashid bercita-cita untuk menjadi pegawai daerah.
Bagaimanapun permohonannya bagi pekerjaan ke arah jawatan tersebut gagal.  Beliau kemudian memohon pelbagai jawatan kerajaan tetapi nasib tidak menyebelahinya.  Malu dengan keadaan dirinya yang masih menganggur walaupun memiliki segulung ijazah, Jamaluddin sanggup melakukan semua kerja termasuk menjadi buruh, bersawah dan menoreh getah – semua kerja yang tidak memerlukan ijazah.
Setelah lima tahun `menjaja’ ijazahnya, beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pada 1986 memutuskan untuk tidak lagi memohon pekerjaan menggunakan kelulusannya itu.
Sebaliknya, Jamaluddin, 45, berusaha membuka tapak semaian pokok bunga dan pokok teduhan dan kini beliau merupakan usahawan tani yang berjaya.  Beliau bukan sahaja menjadi majikan kepada 10 orang pekerja tetapi mendapat kepercayaan sebuah pemaju terkenal untuk membekalkan pokok bunga dan teduhan ke jabatan kerajaan, sekolah dan swasta.
Hasil titik peluhnya mengusahakan tapak semaian yang dikenali sebagai `Semaian Ani Ayu’ itu, Jamaluddin yang pernah menyertai Skim Khidmat Siswazah (SKS) bagi graduan menganggur pada 1986, dapat membina sebuah banglo.  Banglo tersergam indah di Kampung Sadek, Kupang yang berharga lebih RM300,000 itu adalah lambang kegigihan, kecekalan dan keberanian seorang siswazah yang tidak bergantung harap kepada kerajaan semata-mata.  “Saya tidak berminat untuk bekerja di pejabat lagi walaupun ditawarkan jawatan yang tinggi,” kata Jamaluddin ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di rumahnya, hari ini.  Jamaluddin berkata, beliau tidak pernah menyesal kerana cita-cita menjadi pegawai tinggi kerajaan tidak tercapai.
Beliau turut menasihatkan graduan menganggur yang kini berjumlah 80,000 orang supaya tidak memilih pekerjaan dan berharap kerja `makan gaji’ semata-mata.  “Buatlah sebarang pekerjaan yang halal dan sebaik-baiknya buatlah pekerjaan sendiri kerana kita lebih bebas dan tidak terikat,” ujarnya.
Menceritakan kejayaannya itu, Jamaluddin berkata, beliau mendapat dorongan Jabatan Pertanian dan rakannya seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Botani Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mengusahakan tapak semaian di atas tanah seluas satu hektar pada tahun 1991. Tambahnya, beliau sedar untuk berjaya, segala perasaan malu, ego dan rasa rendah diri perlu dikikis bagi mencapai matlamat itu.
Bapa kepada dua anak hasil perkongsian hidup bersama Noraini Sulaiman, 39, itu kini boleh berbangga apabila perniagaannya telah berkembang ke seluruh negara walaupun pendapatan awal hanya sekitar RM400 sebulan.
Menurut Jamaluddin, ijazah yang diperoleh hanya sekadar untuk mendapat pengetahuan serta ilmu tetapi ia bukan lesen untuk memperoleh kerja bergaji besar tanpa berusaha sendiri. “Saya semakin seronok apabila perniagaan ini mampu memberikan pendapatan lumayan sehingga melebihi empat angka,” kata Jamaluddin yang turut menyambut baik langkah kerajaan mewujudkan semula Skim Latihan Siswazah Menganggur (SLSM) bagi mengatasi masalah pengangguran di kalangan lepasan institusi pengajian tinggi.  Bagaimanapun katanya, skim itu perlu meningkatkan bimbingan secara berterusan kepada bekas siswazah, sementara golongan itu pula perlu mengikis sikap untuk bekerja makan gaji semata-mata selepas tamat pengajian di universiti.




Belajar Menjadi Usahawan 


MENCEBURI bidang perniagaan tinggi risikonya, apatah pula jika dilakukan ketika masih di alam pengajian. Tanpa perancangan rapi termasuk bijak mengatur masa antara kuliah dan 'bekerja', perniagaan yang dibina boleh gulung tikar. Mampukah, siswa hari ini menjadi penuntut dan pada masa sama menjadi usahawan kecil?   BERGELAR mahasiswa pada era globalisasi kini bukanlah suatu perkara mudah kerana mendepani pelbagai cabaran dari setiap sudut sekali gus memerlukan golongan terpelajar ini melengkapkan diri masing-masing dengan penguasaan ilmu, kemahiran, jati diri, pemikiran dan komunikasi. 
Tanpa persediaan rapi yang khusus dan jitu, dikhuatiri mahasiswa mudah tersungkur sejurus menempuh alam pekerjaan yang mengkehendaki setiap pekerja memiliki pelbagai kemahiran selain kecemerlangan akademik.
Terdapat juga yang menceburkan diri dalam dunia keusahawanan kerana menjanjikan pendapatan lumayan berbanding bekerja makan gaji, namun ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana tanpa ilmu yang cukup membolehkan mahasiswa kecundang.  
Demi memperoleh pengalaman dalam selok-belok dunia perniagaan ada segelintir mahasiswa memberanikan diri mula berniaga ketika masih menuntut di universiti. Malah kini sudah ada yang terbabit dalam perniagaan berasaskan francais dengan mengeluarkan modal menggunakan wang sendiri dan perkara itu menimbulkan persoalan sama ada mereka mampu membahagikan masa antara pelajaran dan perniagaan yang diuruskan itu.  Pelajar tahun akhir jurusan Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Munirah Yahya, berpendapat tidak salah bagi mahasiswa terbabit dalam bidang perniagaan ketika masih belajar kerana ia membantu mereka mempelajari banyak perkara penting mengenai dunia perniagaan.  Selain itu, katanya, galakan daripada pengurusan universiti sendiri menjadikannya nekad untuk membuka perniagaan berkonsepkan francais dipanggil Ayamazz Roti Impit di bawah kelolaan syarikat KFC Holding Bhd bersama dua rakan yang lain.  "Memang diakui akan timbul masalah mengenai pembahagian masa antara akademik dan berniaga, namun sebelum memulakan perniagaan ini lagi saya sudah memikirkan segala-galanya.  "Kelas pengajian pada semester ini kebanyakannya bermula pada sebelah pagi, justeru gerai hanya akan dibuka selepas tamat kuliah hingga ke waktu malam," katanya.Katanya, selain itu beliau dan rakannya akan bergilir-gilir menjaga gerai mengikut jadual yang telah ditetapkan supaya dapat memberi lebih tumpuan kepada pelajaran masing-masing. Pendapat itu disokong rakannya, Azrinna Abd Aziz yang menganggap jika mahasiswa bijak membahagikan masa, tiada masalah untuk mereka berjaya dalam akademik dan bidang lain yang diceburi.  Menyentuh mengenai perniagaan yang baru dimulakannya itu, beliau berkata, idea untuk membuka gerai itu timbul selepas mengetahui maklumat berkenaan daripada rakannya dari universiti lain. Selepas itu tanpa membuang masa beliau terus mendaftar dan membuat pinjaman sebanyak RM3,500 daripada Agro Bank sebagai modal permulaan perniagaan.
"Latihan dan ceramah berkaitan pengendalian gerai turut diberi serta dibekalkan dengan Standard Pengurusan Operasi (SOP) sebagai rujukan tambahan.  "Antara cabaran dihadapi sewaktu memulakan perniagaan ini adalah apabila ada rakan yang memperlekehkan usaha ini dengan mengatakan kami tidak mampu berjaya dalam bidang ini kerana masih belajar," katanya. 

Siswazah sahut cabaran ceburi bidang ternakan
Tidak ada yang lebih istimewa bagi seorang siswazah apabila berpeluang menimba pengalaman sebagai pengurus operasi perniagaan peruncitan dan pemborong sedangkan baru sahaja menggenggam segulung ijazah.  Lebih istimewa, kerjaya barunya menuntut lebih usaha untuk mendapatkan pengetahuan kerana ia berkaitan pemasaran produk berasaskan ternakan sedang, ijazah yang dimiliki dalam bidang kejuruteraan elektrik.
Justeru, `haluan' yang dipilih nyata menyimpang jauh daripada ilmu yang ditimba di universiti tetapi bagi Harfirdaus Che Lah, dalam usia yang baru mencecah 23 tahun, dia menganggapnya sebagai satu cabaran yang memerlukan kecekalan, keberanian selain tidak berputus asa untuk menambah pengetahuan.  “Saya sudah jatuh cinta dengan perniagaan ini, ujarnya,‘’ ketika ditemui di pejabatnya di Kajang baru-baru ini.
Harfirdaus Che Lah yang memegang jawatan Eksekutif Operasi, Perfect Fresh and Frozen nyata enggan menambah bebanan fikiranya bahawa bidang yang agak asing baginya boleh menjadi batu penghalang mencapai kejayaan.
Malah dia yang pernah bertugas sebagai pelatih pengurus di sebuah syarikat makanan segera akan memanfaatkan ilmu yang dimiliki untuk memajukan syarikat berkenaan yang baru membuka outlet di Jalan Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor.  Syarikat yang diuruskan oleh KMJ Supplies Sdn. Bhd. itu beroperasi sebagai pemborong dan peruncit bekalan daging lembu, kambing Boer, rusa, unta, burung unta, arnab dan ayam kampung.  Selain itu, syarikat terbabit juga memasarkan ayam turki, burung puyuh, itik dan susu kambing.  Syarikat terbabit menawarkan sistem francais kepada mana-mana pengusaha yang berminat memasarkan produk-produk berkenaan, dengan tujuan membantu pengusaha ladang di peringkat pengeluaran untuk memasarkan hasil mereka.  “Ada masa ini, kami memperoleh bekalan dari merata tempat di seluruh negara dan ini sekali gus dapat pengusaha memasarkan hasil ladang mereka,” kata Harfirdaus.  Sebagai contoh, bekalan ayam kampong diperoleh dari projek penternakan membabitkan ibu tunggal di Kuala Selangor, burung puyuh (Pulau Pinang), itik (Tampin), arnab (Broga) dan burung unta dari Beranang, Selangor.  Pengusaha menghantar bekalan daging mereka selepas diproses manakala syarikat terbabit membungkusnya dengan potongan dengan saiz tertentu memudahkan suri rumah menyediakannya untuk dimasak.  Apa yang pasti, konsep pemasaran bekalan produk berasaskan daging itu memperkenalkan konsep baru dalam pemasaran daging yang bukal sahaja, segar tetapi halal dan bersih.  Menurut Harfirdaus, meskipun baru dibuka pada 24 November lepas, pengunjung sudah mula memenuhi outlet tersebut sejak awal pagi khususnya pada hari cuti.
Ini kerana konsep yang mudah untuk membuat pilihan dan jenis daging ternakan yang pelbagai, mendorong mereka mendapatkan produk yang diperlukan.  Meskipun tidak semua daging yang dijual hasil daripada ladang ternakan tempatan, syarikat terbabit menjanjikan produk yang segar dan berkualiti.Malah, selain pasaran runcit, pengguna juga boleh membuat tempahan untuk mendapatkan daging yang dikehendaki dan akan dihantar ke destinasi yang diminta.  Menurut Harfirdaus, pihaknya juga menyasarkan kepada syarikat penyajian makanan (catering) kerana ia menawarkan satu pasaran besar bagi bekalan daging mentah. Selain itu, syarikat terbabit juga membekalkan susu kambing segar berjenama Vcals ke beberapa buah hospital selain dijual secara runcit.Pada masa ini, syarikatnya mampu mengedar antara 400 dan 500 botol sehari kepada pelanggan terbabit.Dengan modal awal sebanyak RM250, 000 bagi melengkapkan outlet yang menempatkan pusat jualan, bilik pemotongan serta bilik sejuk beku serta kakitangan seramai empat orang setakat ini, Harfidaus ternyata mempunyai tanggungjawab berat memajukan perniagaannya,
Kita kena berani bersemangat dan yakin dengan diri.



Siswazah raih RM40,000 sebulan


Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my
SHAH ALAM - Bukan mudah menjalankan perniagaan selepas tamat pengajian di universiti namun pemilik perniagaan coklat, Nazirah Mohd. Noor kini mampu tersenyum setelah meraih jualan sehingga RM40,000 sebulan.
Nazirah, 33, yang memiliki butik Chocolates Circle di Shah Alam City Centre Mall di sini menjelaskan, minat dan disiplin tinggi penting bagi memastikan usahawan siswazah berjaya dalam perniagaan.
"Saya berpegang kepada prinsip 'cuba dan gagal' dalam mengusahakan perniagaan. Saya akan cuba mencari jalan bagi menyelesaikan setiap masalah operasi yang timbul," kata graduan jurusan pentadbiran perniagaan dari Universiti Utara Malaysia itu.  Butik yang beroperasi sejak Ogos 2005 itu digerakkan menerusi pinjaman RM100,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Bagaimanapun ia habis dibayar dalam tempoh tiga tahun.
Kata Nazirah, idea untuk mengusahakan perniagaan produk coklat itu tercetus apabila beliau terkandas ketika menunggu pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2003.  "Setelah mendapat idea, saya menjalankan kajian mengenai produk dan industri coklat, struktur demografi Shah Alam serta kecenderungan pasaran dan permintaan pengguna," jelasnya.  Premis yang diusahakan Nazirah hanya berukuran 21 meter persegi tetapi ia mempunyai lebih 15 jenama produk coklat jenama antarabangsa dan tempatan.  Sebanyak 80 peratus daripada produk yang dijualnya adalah produk import dari pelbagai negara.  Chocolates Circle menyediakan hampir 500 jenis perisa coklat dan ia dijual dengan harga bermula RM1 sehingga RM79.  "Sebanyak 70 peratus pelanggan kami terdiri daripada syarikat-syarikat korporat dan agensi kerajaan yang menempah coklat sebagai hadiah atau cenderahati.  "Bakinya membabitkan pemberian hadiah menggantikan bunga telur pada majlis perkahwinan masyarakat Melayu," jelasnya.
Pada tahun pertama beroperasi, Chocolates Circle mampu meraih pendapatan jualan sekitar RM20,000 sebulan dan meningkat kepada hampir RM40,000 sebulan.  "Jualan luar biasa lazimnya dicatatkan pada musim-musim perayaan atau pada sambutan-sambutan khusus.  "Catatan tertinggi jualan ialah kira-kira RM49,000 dan sasaran pada tahun ini ialah cuba mengekalkan pendapatan jualan sekitar RM50,000 sebulan," katanya.


Lima Sekawan Urus Acara

Oleh ADLAN JAAFAR

SEGALA-GALANYA bermula apabila lima orang sahabat tahun akhir pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebagai pelajar yang aktif dengan aktiviti kokurikulum seperti Majlis Perwakilan Pelajar, Kelab Maaruf dan Persatuan Kejuruteraan memberi pendedahan kepada mereka menguruskan sesebuah majlis.
Menyedari mereka memiliki pengalaman, seorang pelajar itu pasti akan berkira-kira tentang masa hadapan. Sebaik sahaja tamat pengajian, mereka menubuhkan OneHeart Creative Solution.  OneHeart dimiliki oleh Ahmad Huzaifah Ahmad Shahrir, Suhairil Izham Suroya, Nur Shahidat Mohamed, Hidayatul Karimah Mohd. Mahyuddin dan Ahmad Taufiq Iqbal Abd. Rani.  Lebih gemar memanggil ‘bayi’ baharu mereka itu sebagai OneHeart, syarikat tersebut menjadikan pengurusan majlis dan pembekal perkhidmatan teknikal sebagai perniagaan utama.  Kesemua mereka berumur 24 tahun kecuali Izham yang berusia 25 tahun. Selain itu, mereka juga mampu menyediakan 30 orang pekerja separuh masa yang terdiri daripada rakan-rakan dari UIAM bergantung kepada situasi. 
Selepas yakin dengan keputusan yang dibuat, mereka pun duduk bersidang di salah sebuah bilik kuliah di UIAM bagi membincangkan konsep dan idea syarikat yang bakal beroperasi itu.
Menurut Huzaifah, suasana perbincangan sekitar bulan Februari 2010 itu persis sekumpulan pelajar sedang mengadakan perbincangan dalam kumpulan.  Hasil mesyuarat itu, mereka berjaya mengadakan sebuah konsep yang terdiri daripada nama syarikat dan logo yang telah diguna pakai sehingga kini. “Sasaran pertama kami waktu itu adalah menghebahkan kewujudan kami di laman sosial Facebook. Ideanya adalah jika seorang daripada kami mempunyai kira-kira 2,000 kenalan maka sudah 10,000 orang mengetahui OneHeart,” terang Huzaifah ketika ditemui di Batu Caves, Selangor baru-baru ini. Huzaifah yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif OneHeart mengakui memulakan perniagaan tanpa memiliki sebarang modal permulaan amat sukar.
“Cuma pengalaman dan pengetahuan sahaja yang dijadikan sebagai bekalan kami. Malah, ibu bapa kami juga tidak menaruh kepercayaan,” luah Huzaifah yang turut sama diakui ahli yang lain.  Namun, tatkala mereka menganjurkan majlis bertajuk, Seminar Buat Duit Cara Mawardee pada bulan Mac lalu, kepercayaan orang ramai mula meningkat.  Tambah Shahidat, Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 anjuran akhbar Kosmo dan Daisy yang berlangsung selama sebulan pula benar-benar mencabar tahap kemampuan OneHeart tetapi ia amat berbaloi.  “Kesannya, ibu bapa kami yang skeptikal pada peringkat permulaan sudah menaruh kepercayaan dan langkah kami seterusnya lebih yakin,” ujar wanita yang bertugas sebagai Eksekutif Komunikasi OneHeart.  Sehingga kini, perniagaan mereka bukan sahaja memfokus kepada pengurusan majlis tetapi telah berkembang dengan menyediakan perkhidmatan lain seperti fotografi, rakaman suara dan kedai buku secara talian.

Pada bulan Jun lalu, kelima-lima anak muda itu sudah boleh melakukan kerja-kerja pengurusan syarikat dengan lebih selesa apabila sudah berpindah ke premis tetap dengan keluasan ruang kira-kira 46 meter persegi.Meskipun sudah boleh dikatakan sudah berada di kedudukan yang selesa tetapi ujar Karimah, mereka perlu meletakkan OneHeart sebagai keutamaan. Terutama apabila ia melibatkan pengurusan wang dan keuntungan.  “Kami mempunyai satu amaun gaji yang diterima setiap bulan tetapi tidak semestinya tetap setiap bulan. Apabila tiba bulan yang kurang mendapat projek, gaji mungkin tidak diberi tetapi elaun dalam jumlah yang kecil menjadi pengganti,” terang Karimah yang menjaga kewangan syarikat. Walaupun baru setahun OneHeart ditubuhkan, mereka amat bersyukur kerana sehingga kini akan ada projek yang perlu dilaksanakan.



Usahawan Graduan Rim Kereta 

SITI MARIAM ABDULLAH (lima dari kiri) bersama kakitangannya menunjukkan rim kereta yang dijual di Karnival Silaturahim dan Expo Perdagangan 2008 (KARSEP 08) di Stadium Mini Pendang baru-baru ini.

SIAPA sangka wanita yang berusia 39 tahun ini adalah usahawan bumiputera pertama yang mengusahakan perniagaan sport rim kereta yang biasanya dilakukan oleh kaum lelaki dan bangsa lain. Pemilik syarikat Clear Insight Technology Sdn. Bhd., iaitu Siti Mariam Abdullah kini boleh berbangga apabila kedudukannya kini setanding dengan bangsa lain yang mengusahakan perniagaan yang sama. Katanya, memang sukar untuk memulakan perniagaan yang biasanya dilakukan oleh kaum lelaki itu tetapi berpegang kepada prinsip ingin berjaya dan kaum wanita juga boleh maju ia menjadi pembakar semangatnya.  "Sport rim kereta yang diusahakan oleh kilang saya di Sungai Petani ini menjadi pembekal kepada syarikat Naza dan Proton, sekarang kami ingin meluaskan pasaran lagi kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi pembekal di pasaran terbuka," ujarnya ketika di temui Kosmo! di Pendang semalam. Syarikat Clear Insight Technology Sdn. Bhd. adalah antara syarikat tempatan yang mengambil bahagian dalam Karnival Silatulrahim dan Expo Perdagangan 2008 (Karsep) di Stadium Mini, Pendang yang bermula 18 hingga 20 Disember ini.
Tambah Siti Mariam, platform di Karsep diharap dapat membuka jalan dan dijadikan strategi pemasaran untuk mencari pembekal rim syarikatnya di pasaran terbuka tempatan. "Target saya adalah untuk melihat kereta nasional atau kereta import memakai rim tempatan yang diusahakan oleh bangsa kita sendiri. "Kualiti syarikat kami tidak kurang hebatnya dengan rim yang diimport dari China dan Eropah," jelasnya. Kata beliau, apa yang ditawarkan oleh syarikatnya sudah tentu rim yang jauh lebih murah daripada yang diimport di samping menjaga kualiti dari segi ketahanannya. "Rim bersaiz 14 dijual dengan harga serendah RM400 sehingga saiz 16 dengan harga RM1,000. Rim kami juga mendapat kelulusan spefikasi dari Jerman dan menerima sijil TUV Jerman yang tidak diperolehi oleh syarikat lain," ujarnya.  Perniagaan berkenaan yang diusahakan sejak tahun 2005 itu kini telah berjaya mengeluarkan sebanyak 26 ribu rim sebulan dan ia turut diimport ke pasaran Eropah seperti Jerman. Selain itu di Karsep seorang lagi usahawan wanita yang tidak kurang hebatnya tetapi di bidang yang berlainan adalah Wan Norizan Wan Ahmad, 37, yang mengusahakan makanan sejuk beku, kuih muih dan kek.
Beliau yang berasal dari Kobah, Pendang itu bermula perniagaan kecil kecilan dengan membuat baulu dan maruku lapan tahun lalu untuk dijual di kedai-kedai makan. Kini beliau telah mempunyai bengkel sendiri dan telah menggaji tiga pekerja untuk membantunya membuat tempahan makanan berkenaan. "Saya mula berniaga ni dengan modal RM200 sahaja lepas tu buat pusingan modal sedikit demi sedikit untuk buka bengkel menerima tempahan makanan.  "Saya tidak pernah pinjam duit dari mana-mana badan sebaliknya hanya guna pusingan modal ini sahaja," jelas ibu kepada lapan orang anak ini. Makanan sejuk beku yang diusahakannya adalah seperti pau kering, karipap pusing, cucur badak, cucur kacang dan menerima tempahan kuih raya dan kuih tradisional dan moden. "Saya di Karsep ini untuk mencari pasaran baru supaya orang ramai dapat lihat produk saya dan jika ada yang sudi untuk menempah itu sudah memadai," Karsep yang dianjurkan bersama Pasaraya Pendang Sdn. Bhd. dan Jentayu Communication & Event sempena sambu- tan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Seramai 760 peserta yang terdiri daripada syarikat korporat, industri kecil dan sederhana, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta peniaga-peniaga kecil akan mempamer dan menjual produk masing- masing di 108 buah gerai yang disediakan. Karnival tersebut yang berkonsepkan Nostalgia Village akan menampilkan kehidupan dan suasana Melayu dari segi makanan, pakaian dan permainan yang juga dijangka dapat menarik perhatian para pengunjung.

Rujukan : http://usahawan-jaya.blogspot.com/2009/01/perniagaan-rim-kereta.html



Graduan jadi usahawan kuih

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN 
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN


Musleha Punari sentiasa berusaha mengembangkan perusahaannya menjadi lebih besar dengan mewujudkan lebih banyak cawangan.

MENJUAL kuah rojak, makanan ringan serta produk pertanian di pasar tani pada tahun 1990-an merupakan titik permulaan bagi Punari @Zainudin Salleh, 59, membina empayar perniagaannya.  "Ketika mula-mula menceburi perniagaan pasar tani saya hanya memikirkan mencari rezeki untuk keluarga," katanya ketika ditemui di premisnya di Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.  Sebelum berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dia pernah bekerja sebagai buruh di Singapura dan berkebun.  Matlamatnya hanya satu, untuk mencari rezeki bagi anak-anak dan isteri.  Kini, selepas lebih 10 tahun berkecimpung dengan perniagaan kecil-kecilan, akhirnya dengan bantuan dan galakkan isteri Mastura Senon, dia berjaya membina empayar MHP Enterprise.  Menggunakan jenama Masri, gabungan nama suami isteri Mastura dan Punari - memberikan tuah kepada Punari sehingga produknya berjaya mendapat tempat di rak-rak di pasar raya besar seperti Giant.
Sebagai pengasas, Punari memulakan usaha kecil membangunkan MHP Enterprise hanya dengan modal RM10,000.  "Siapa sangka produk yang bersifat kampung seperti kerepek, baulu, rempeyek dan biskut tradisional mempunyai potensi yang cukup tinggi dan unik di pasaran," katanya.  Ini yang menjadi kekuatan awal kepada syarikatnya dalam ruang modal yang terbatas dan infrastruktur serba sederhana menjadi kuat daripada semasa ke semasa.  Bagaimanapun, tidak mahu terlalu lama mengetuai MHP Enterprise, Punari memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak sulungnya, Musleha Punari.  

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Musleha berjaya membawa pelbagai peningkatan kepada produk jenama Masri dan MHP Enterprise.  Sebagai pengurus MHP Enterprise, Musleha berjaya melonjakkan jualan kasar selain mendapat pengiktirafan halal daripada Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha membawa produk syarikat ke pasaran yang lebih luas.  Pada mulanya saya menangis apabila ayah memberikan tanggungjawab menguruskan MHP Enterprise.  "Mana tidaknya, dengan kelulusan yang ada tentu saja saya berpeluang menjawat jawatan lebih baik di syarikat antarabangsa," katanya.  Mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan MHP Enterprise kini mempunyai 40 orang pekerja tetap dan sementara.
Bukan itu saja, kini MHP Enterprise juga menjadi pusat jualan untuk produk-produk makanan ringan tradisional yang diusahakan oleh penduduk sekitar.  Kini MHP Enterprise banyak menerima pelawat yang menginap di hotel dan inap desa sekitar Kuala Selangor, Sekinchan dan kawasan sekitarnya selain peserta kursus dari agensi kerajaan dan swasta.  "Kami juga menerima delegasi dan pelancong asing seperti Iran, Belanda, Indonesia, Perancis, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Singapura, Myanmar, Brunei dan Thailand," kata Musleha.
MHP Enterprise akan terus memandang ke hadapan dan disasarkan selepas ini, syarikat terbabit akan mengembangkan perusahaannya dengan mewujudkan lebih banyak cawangan.  Di samping peningkatan kualiti terhadap produk melalui kerjasama penyelidikan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Sirim Berhad dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di harap produk selepas ini boleh menembusi dan bersaing di pasaran global pula.




Pengarah IT & Multimedia Kreatif 
Anwar adalah salah perintis awal PutarPutar Dot Com. Seorang graduan dari Management & Science University (MSU) dalam bidang Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan. Selain dari itu Anwar juga adalah seorang pemandu pelancong sambilan yang berpengalaman lebih dari tiga tahun. Sepanjang menjadi pemandu pelancong, pelbagai jenis rombongan pernah Anwar uruskan dari negara asia seperti Indonesia, Thailand, Myanmar, Vietnam, Korea, Jepun sehinggalah ke timur tengah dan barat.

Sebagai seorang graduan pengajian pelancongan, dan berpengalaman sebagai pemandu pelancong, Anwar juga mempunyai minat mendalam dalam bidang IT. Di sini Anwar, akan menggabungkan kemahirannya dalam bidang pelancongan dan bidang IT. Anwar akan bertanggungjawab untuk menguruskan segala yang berkaitan dengan website, laman sosial, promosi di internet dan editor di PutarPutar Dot Com.

Bekas jurutera jual serunding

Rencana dan gambar NORZAINURA ABDUL MAJID

Azliya Jamil sentiasa berbincang bersama Shahizam abu bakar bagi meningkatkan lagi mutu serta pemasaran serunding mereka.



PADA awalnya untuk bergelar usahawan serunding memang perit. Pelbagai pahit maung terpaksa dihadapi. Walaupun perit setiap usaha tidak terhenti dan dari sehari ke sehari serunding yang dihasilkan dijaga kualitinya.
Semangat untuk menjadi seorang usahawan berjaya sentiasa ada dalam jiwanya meskipun di awal perniagaan produk yang dihasilkan pernah dipulangkan kembali kerana didakwa tidak tahan lama.
Tetapi semua itu tidak melemahkan semangat pasangan suami isteri Azliya Jamil, 44 dan Shahizam Abu Bakar, 41 untuk meneruskan minat mereka meskipun mereka terpaksa melepaskan pekerjaan tetap dengan gaji lumayan.
Shahizam merupakan lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari University of Manchester, United Kingdom dan pernah bekerja sebagai jurutera dan pengurus di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka Malaysia selama 13 tahun.  Isterinya Azliya juga merupakan lulusan ijazah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari UMIST, United Kingdom dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di salah sebuah universiti tempatan selama tujuh tahun.
Mereka bermula dengan modal RM300 untuk membeli bahan mentah dan sebiji kuali bagi memulakan perniagaan serunding daging dan mulanya dijual hanya kepada saudara mara sahaja lima tahun lalu.
"Alhamdulillah sambutan terhadap serunding kami amat menggalakkan dan mendapat galakkan untuk terus di pasarkan di kedai-kedai berdekatan dan sambutan sangat memberangsangkan," ujar Azliya ketika ditemui di Parit Besar Mukim 2, Bagan Batu Pahat, Johor baru-baru ini.  Melihat kepada produknya yang berpotensi untuk pergi lebih jauh, pasangan berkenaan telah membuka peluang perniagaan kepada saudara mara yang berminat untuk melabur dalam perniagaan serunding tersebut.  "Kami mula mengumpul dana melalui pelaburan saudara mara, duit jualan serunding serta hasil perniagaan sajian makanan memasak nasi briyani untuk majlis kahwin," tambah Azliya.
Dengan dana yang terkumpul itu mereka membina sebuah bengkel berukuran 320 kaki persegi (RM15,000), membeli mesin pengacau (RM6,000) dan ketuhar pengering terpakai (RM500).  Kemudian mereka telah mendaftar sebagai sebuah syarikat dan mengambil enam pekerja untuk meningkatkan pengeluaran dan menghantar serunding ke kedai-kedai berhampiran, pasar mini dan restoran di Johor.  Menurut Azliya, pada tahun 2007 mereka mula mendapat perhatian daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang kemudian membantu menaik taraf bengkel dengan peruntukan sebanyak RM35,000.  Bantuan lain termasuk mesin seperti industrial oven, sealer juga peti sejuk bernilai RM10,000.  Demi meningkatkan lagi pengeluaran untuk pasaran luar Johor mereka telah memperkenalkan serunding ayam pula atas permintaan ramai.
Perniagaan yang diusahakan dari sehari ke sehari mendapat permintaan amat menggalakkan dan untuk itu mereka telah menubuhkan sebuah syarikat yang kini dikenali sebagai Pristine Quality Sdn Bhd.  Paling membanggakan produk mereka mendapat sijil Halal dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor.  "JPV telah memberi lagi bantuan sebanyak RM10,000 bagi meningkatkan mutu pembungkusan kepada kotak dimana konsep dan reka bentuk di buat sendiri oleh kami,'' jelasnya bangga.
Bermula dari situ pada tahun 2009 mereka mula menyertai secara agresif ekspo seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) serta Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas).   Serunding mereka juga mula menembusi pasaran Sabah dan Sarawak melalui agen-agen dan pemborong.  JPV juga telah memberi lagi bantuan sebanyak RM40,000 dalam bentuk mesin seperti pengacau serunding, pemotong bawang , pengisar cili , pengisar berkelajuan tinggi , meja keluli tahan karat alat penimbang digital.
Mereka juga mula menerima tempahan daripada syarikat-syarikat swasta dan agensi kerajaan untuk tujuan cenderahati dan bungkusan hadiah.  Pada masa sama, syarikat terbabit juga mendapat permintaan dari masyarakat Cina untuk menghasilkan serunding kambing yang diedarkan oleh sebuah syarikat Cina tempatan.
Azliya menambah melalui MIHAS mereka mendapat kontrak membekal serunding daging kepada vendor Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga mendapat peluang menembusi produk ke Brunei yan g kini dalam perbincangan dengan sebuah syarikat pengedar di sana.  Kini mereka dalam usaha mencari modal dan tapak baru untuk membina kilang berukuran 100 x 40 kaki persegi bagi mencapai sasaran untuk membina kilang bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP).  Selain itu mereka sedang berusaha untuk memperoleh pengiktirafan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) yang merupakan antara kriteria untuk memudahkan produk menembusi pasaran antarabangsa.
Produk yang diusahakan iaitu serunding daging ayam, kambing dibungkus dengan berat 50 gram dan 80 gram iaitu dalam dua kotak berlainan juga boleh membungkus mengikut permintaan pelanggan seperti bungkusan untuk majlis kahwin atau bundle bagi pengedar dan pemborong.  Serunding seberat RM50 gram dijual dengan harga runcit RM5 dan RM 8 untuk bungkusan seberat 80 gram.  Bagaimanapun tambah Azliya pemborong akan mendapat harga borong iaitu 30 peratus hingga 40 peratus diskaun mengikut kuantiti yang diminta.  Menurut Azliya lagi, keunikan produknya ialah ia tahan selama setahun, kering dan tidak berminyak tapi kekal rasa enak rendang Johor. yang telah dimasak kering menjadi serunding.  Azliya menambah, jika dahulu mereka memperoleh pendapatan dua angka, kini ia mencecah kepada tiga angka dalam tempoh tiga tahun beroperasi sebagai syarikat sendirian berhad.  Keuntungan yang dirai tambahnya dijadikan modal balik untuk pembangunan produk dan promosi.  Tahun ini mereka mensasarkan jualan mampu mencecah RM500,000 dalam tempoh empar tahun berikut dan RM1 juta pada tahun 2018 apabila mempunyai kilang bertaraf GMP kelak.  Menjadi harapan Azliya dan suami agar dengan kebolehan dan pengalaman sebagai jurutera mereka dapat membina sebuah syarikat industri makanan yang berdaya saing dan berinovatif. Daripada sebuah syarikat kecil-kecilan kepada sebuah syarikat yang boleh dijadikan contoh kepada usahawan lain.  Secara tidak langsung katanya dengan adanya perusahaan ini di Bagan, Batu Pahat, ia akan memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat disini dari segi peluang pekerjaan .dan kebajikan.
Menurut Azliya, serunding keluaran mereka dilabelkan sebagai House of Serunding dan mempunyai Sijil Halal dengan sasaran pemasarannya adalah pasaran tempatan dan luar.  Buat masa ini katanya mereka mampu menghasilkan 1 tan serunding bersamaan 800 kilogram (kg) serunding sebulan.  Bagi mereka, pengorbanan melepaskan jawatan pensyarah yang disandang selama tujuh tahun dan sebagai jurutera selama 13 tahun berbaloi dengan pendapatan yang mereka raih hasil usaha sendiri.
"Kejayaan kami kerana kami berkongsi minat yang sama untuk berniaga dan mempunyai pendapatan hasil usaha sendiri berbanding makan gaji dan kami berasa puas apabila produk yang kami hasilkan mendapat sambutan memberangsangkan,'' jelas Azliyah.  Ibu kepada dua orang anak Muhammad Shahid, 15 dan Muhammad Shafiq, 17 ini berharap agar perniagaan serunding resepi tradisional yang diusahakan bersama suami akan menjadi perniagaan keluarga dan dipasarkan ke pasaran global satu hari nanti.  Dengan prinsip tidak mahu makan gaji dan mahu berusaha sendiri, Azliyah dan Shahizam berjaya merealisasikan impian mereka dan tidak berasa rugi meninggalkan gaji lumayan demi untuk menjadi usahawan serunding.

sumber: Utusan Malaysia Online


Among pilih pertanian meskipun ada tiga ijazah
Oleh MELATI MOHD. ARIFF




KETIKA penulis tiba di kediamannya di Kampung Hayat, Simpang Pelangai, terletak kira-kira 46 km dari Bentong, beliau sedang bertukang di kandang kambingnya.  "Beginilah kalau kerja sendirian, semua kena buat sendiri," kata Azizuzanadi Zainuddin, 39, sambil mengetuk papan untuk dijadikan bekas makanan kambing-kambing baka Feral dari Australia.
Berbanding kambing lain yang begitu riuh mengembek, baka kambing Australia ini berkumpul di satu sudut ketika Azizuzanadi atau lebih mesra dengan panggilan Among, membuat kerja tukangannya.
"Kambing Australia ini baru saya dapat, mungkin ternakan ini tak biasa lagi dengan kandang ini, sebab itu diam sahaja," kata Among berseloroh.  Kandang kambing dua tingkat itu siap dibina Mac tahun lalu. Kos membina kandang mencecah RM90,000 dan sebahagian besar wang diperoleh daripada pinjaman TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan bantuan PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan Pelangai).  Di bahagian bawah kandang terdapat stor menyimpan makanan, peralatan dan keperluan. Di lantai bawah itu juga. dia membakar rumput kering yang menghasilkan asap untuk menghalau agas dan nyamuk. Tinja kambing turut dikumpul di lantai bawah dan dibakar untuk dijadikan baja.  Di bahagian atas terdapat beberapa petak kandang yang mengasingkan kambing ternakan mengikut jenis, saiz dan umur.

Pendidikan tinggi
Mendengar sketsa liku-liku kehidupan penternak muda ini, anak seorang pesara tentera, menunjukkan beliau bukan calang-calang orangnya dari segi pencapaian akademik.  Beliau bersekolah agama dari peringkat sekolah rendah hingga menengah. Tamat tingkatan lima, beliau memilih menyambung pelajaran di sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat Al-Nadhah, Kota Sarang Semut, Kedah selama dua tahun.  Meskipun mendapat peluang untuk ke Universiti Al Azhar, dia memilih untuk ke sekolah Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah dan belajar selama tiga tahun lagi.  Tamat belajar di sekolah pondok, dia kembali ke kampung halamannya dan membuat kerja kampung selama dua tahun termasuk menoreh getah di kebun datuk dan neneknya serta menanam pisang.  Meskipun bersekolah agama dan pondok, anak muda ini berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis pada 1992 dalam bidang pengajian perniagaan.

Semua boleh
Tamat belajar di UiTM, dia melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS) untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan di Northwood University, Midland, Michigan atas tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).  Tamat pengajian peringkat ijazah, dia tidak terus kembali ke tanah air. Anak perantau ini tidak mahu melepaskan peluang menimba pengalaman bekerja di negara asing. Beliau bukan setakat melakukan dua kerja tetapi juga menyambung pengajian di peringkat sarjana, dengan belanja sendiri, bukan satu tetapi tiga, iaitu Masters in Information System, Masters in International Business dan Masters in Risk Management. Azizuzanadi mengikuti pengajian ketiga-tiga ijazah sarjana itu di Universiti Concordia, Mequon, Wisconsin.  Tamat pengajian ijazah sarjana, beliau tinggal beberapa tahun lagi di Amerika dan memulakan perniagaan pengedaran kebanyakannya produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia serta produk etnik Asia da Mexico.  "Saya menyewa sebuah gudang di Greendale, Wisconsin untuk perniagaan saya iTU. Sambutan untuk produk Malaysia dan Asia memang bagus tetapi yang mengecewakan saya ialah bila saya dapat tawaran membekal sos masam manis dalam kuantiti yang besar untuk Walmart, rangkaian pasaran yang hebat di Amerika, tak ada pihak di tanah air yang sanggup membekalkan saya produk berkenaan," keluh Among.

Usahawan tani
Setelah hampir 10 tahun di perantauan, Among kembali ke tanah air pada April 2007.  "Kalau makan gaji, kita yang lelah bekerja tetapi orang lain yang mengecap kejayaannya," jelasnya.  Among mahu menjadi usahawan dan memilih untuk meneroka bidang pertanian di sebalik tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dari sebuah institut pengajian tinggi awam tempatan.  "Semasa belajar di Amerika, saya berpeluang melawat banyak ladang lembu dan jagung. Saya juga pernah bekerja sambilan di ladang dan saya melihat sendiri betapa majunya peladang-peladang di negara itu. Saya diberitahu kerajaan mereka banyak membantu dan memasarkan produk yang dihasilkan.  "Sememangnya jika dibandingkan dengan industri pertanian di tanah air, kita masih jauh ketinggalan. Di situlah datang tekad untuk saya jadikan bidang pertanian sebagai karier saya," jelas Among.  Sekembalinya ke tanah air, Among tidak membuang masa dan mengikuti pelbagai kursus termasuk anjuran Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (Medec), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Perikanan.  Antara kursus yang disertainya ialah kursus ternakan ikan dalam sangkar, kursus membuat makanan ternakan, kursus pembenihan ikan, kursus penyakit ternakan kambing dan kursus ternakan kambing peringkat ladang.  "Habis sahaja kursus ternakan ikan, saya buat dulu ternakan kambing pada Disember 2007. Saya beli 20 ekor kambing dari sebuah ladang di Nilai, Negeri Sembilan yang terpaksa gulung tikar.  "Saya belanja lebih RM5,000 untuk beli kambing-kambing ini," kata Among dengan menambah kemudian membeli 39 ekor lagi kambing dengan kos kira-kira RM15,000.  Menurut Among, dia hampir berputus asa bila banyak kambing ternakannya mati dan bantuan yang diharapkan daripada jabatan yang berwajib tidak diterima secepat yang diharapkan.  Hasil penat lelahnya, Among kini mempunyai kira-kira 100 ekor kambing daripada pelbagai jenis termasuk kambing biri-biri dan kambing Feral dari Australia, kambing Jamnapari dari Indonesia, kambing Katjang (baka kacukan tempatan dan Anglo Nubian) dan kambing Boer.  Beliau juga membuka sebuah ladang di Jelebu, Negeri Sembilan untuk ternakan kambing biri-biri yang kini berjumlah 37 ekor dan dijaga oleh pak ciknya.  Among kini mengorak langkah mempelbagaikan ternakannya dengan mengusahakan ternakan ikan keli di tanah berhampiran ladang kelapa sawit milik pakciknya.  Beliau bermula dengan 100,000 anak ikan keli yang dipeliharanya di tiga buah kolah batu termasuk sebuah kolam tanah untuk asuhan anak benih sehingga tahap matang.  "Saya ternak ikan keli ini untuk mendapatkan aliran tunai. Sekarang, tiap-tiap hari ikan boleh dijual. Purata dalam sebulan saya boleh dapat antara RM1,000 hingga RM2,000," katanya sambil berkata, dia juga menjual ikan keli salai dengan harga RM18 sekilo.  Among mempunyai rancangan besar untuk perniagaan ternakannya, cuma kekangan utama ialah aliran wang tunai.  Jadual kerja Among sememangnya padat, bermula sebaik selepas subuh hinggalah tengah malam. Ternakannya bukan sahaja perlu diberi makan tiga kali sehari tetapi kandang juga perlu dibersihkan.  Di antara kesibukan di kandang kambing, dia juga menjengah kolam-kolam ikan kelinya yang terletak kira-kira 200 meter dari kandang kambingnya.  "Memang banyak kerja yang perlu dibuat. Hujung minggu kerja, hari raya pun kerja. Kalau hendak berjaya, mesti belajar dan buat sendiri. Kena tahu apa nak buat kalau kambing sakit, kalau kambing nak beranak, kena ada pengetahuan.  "Saya biasa buat kerja dari peringkat bawah lagi. Semasa di Amerika, saya pernah bekerja dengan sebuah restoran pizza. Saya bermula daripada mencuci lantai dan pinggan sehinggalah saya diberi kepercayaan menjadi pengurus.  "Apa yang saya belajar ialah dalam apa juga pekerjaan, kita mesti hands-on, kita mesti tahu selok-belok semua kerja, baru kita boleh pergi jauh," katanya sambil menjelaskan beliau mendapat bantuan ibu dan adiknya jika dia perlu meninggalkan ladang untuk urusan luar.  Isterinya, Zaibedah Zaharum, ialah pensyarah di UiTM, Segamat, Johor.